Facebook, Yahudi & Status Hukum
Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
Soalan
Ustaz,
SYUBHAHKAH menyertai FACEBOOK? ana ada terbaca artikel yang mana pemiliknya,
Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan facebook ini dari seluruh
dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?
Jawapan
Soalan
ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak pula ditulis oleh
pelbagai individu di forum dan blog.
Sebelum
ini saya sendiri tidak menggunakan facebook walaupun saya telah membuat beberapa
kajian serba ringkas dan membaca semua terma perjanjian yang terkandung di web
facebook.
Namun
ramai individu meminta dan mencadangkan saya membuka akaun facebook untuk
menyebarluaskan lagi dakwah dan ilmu yang terkandung di dalam website saya. Biasanya,
permintaan itu saya abaikan, sehinggalah rakan webmaster zaharuddin.net sendiri
mencadangkan kepada saya, lalu saya tolak atas alasan kesibukan.
Beliau
kemudian mencadangkan dibuka fanpage facebook
dan bukannya facebook profile
individu bagi mengelak kesibukan yang dibimbangkan tadi. Beliau juga bersetuju membantu proses pembukaan itu dan administrasi.
Atas
tanggungjawab dakwah dan melihat web saya yang kerap ditimpa masalah server akhir-akhir
ini, saya izinkan beliau memulakan fanpage facebook untuk pengunjung
zaharuddin.net. Boleh melawatnya di sini.
Maka
sejak dari 28 Dis 2009, saya mula menjenguk facebook zaharuddin.net dan membuat
pengisian serba ringkas.
Kembali
kepada soalan, dalam menentukan keputusan dan hukum penyertaan facebook, menurut
pendapat saya, terdapat beberapa isu yang perlu diperhati dan telah saya
perhati sebelum saya memberi izin kepda rakan webmaster saya membuka fanpage facebook. Ia adalah seperti
berikut :-
1) Bolehkah menggunakan produk
ciptaan Yahudi?
Kesimpulan
bagi soalan ini telah saya ulas panjang lebar dalam artikel terdahulu. Baca
di sini . Kesimpulannya, adalah dibenarkan untuk umat Islam membeli,
menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana
ia dalam ruang lingkup yang halal.
Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam
hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran
dengan seorang yahudi,
iaitu :-
أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ
إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan
dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju
besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Tambahan dalil boleh dibaca dari link artikel saya yang lalu di atas.
2) Apa maksud saudara penyoal dengan
ayat ‘menyumbang kepada bangsa Yahudi'?
Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan
kepada dirinya tidak bermasalah
sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak yang berjual beli
dengan Yahudi di Madinah.
Cuma
persoalannya di sini, adalah menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis. Namun
adakah dakwaan itu boleh dibuat dan dipercayai semudah itu, tanpa sebarang
bukti jelas dan hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?
3) Adakah penyaluran dana kepada
individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?
Begini,
jika ternyata dari sumber yang sohih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual
beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang mana digunakan hasil
pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan
ke atas umat Islam, tatkala itu barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM
menurut sepakat ulama.
Dalam konteks facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua
penulisan yang membantah facebook, tidak menyertakan bukti jelas berkenaan hal
ini. Semuanya membuat andaian itu dan
ini, sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan
kepada haram. Ia sekadar boleh mengajak kita untuk berhati-hati dan peka
sahaja.
Malah
majoriti pengguna facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan
syarikat tersebut. Kecuali yang menyertai skim-skim yang ditawarkan (ini
memerlukan perbincangan berasingan)
Jika
ada
pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti-bukti itu
sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum. Justeru boleh saya
katakan, kajian telah dibuat dan kami gagal MENDAPATI
sebarang bukti untuk menyokong andaian-andaian pihak yang membuat
andaian.
Jika
dikatakan
"bukti
bertulis tentulah dirahsiakan oleh pihak syarikat facebook dan mereka memberikan
sumbangan secara senyap-senyap"
Maka
jika demikian, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal
seumpama ini. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak
mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah)
buat seluruh umat Islam pada banyak perkara dan aktviti lain, kerana larangan
dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam beragama Hindu,
Kristian, Buddha dan lainnya. Penjual-penjual tersebut juga boleh diandaikan
menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap. Akhirnya, kita
terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri, hingga bermusuh dengan semua
tanpa bukti yang jelas.
Oleh
kerana itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis,
selagi itulah hukum adalah HARUS
untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli
pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun facebook.
Cuma
mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syuhbat diketika wujudnya peperangan dan
serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian ‘case by case'.
Pun begitu, pengguna facebook sukar untuk dibebankan dengan masalah ini keran
amereka TIDAK BERJUAL BELI denga facebook, mereka hanya menggunakannya secara
percuma. Jika dikatakan, penggunanya menyebabkan trafik facebook menjadi tinggi
dan iklan mencurah masuk lalu memberi keuntungan kepada pemilik facebook. Ia
juga sukar kerana kesesakan trafik bukanlah bersifat ‘direct' membantu
facebook, tambahan pula sebagaimana di katakan tadi, tidak jelasnya sumbangan
kepada keganasan Yahudi.
4) Privacy pengguna facebook
dijajah?
Ini mungkin ada benarnya, setelah
saya menghabiskan bacaan privacy policy
yang terkandung di dalam web facebook, ia memberikan gambaran bahawa gambar,
info dan segala yang terkandung di dalam facebook kita boleh tetap wujud di
facebook orang lain yang dikongsi, dan saya yakin pihak facebook juga mempunyai
simpanan data terbabit.
Policy menyebutkan :
"Even after you remove
information from your profile or delete your account, copies of that
information may remain viewable elsewhere to the extent it has been shared with
others, it was otherwise distributed pursuant to your privacy settings, or it was copied
or stored by other users."
Terma ini adakalanya boleh
membawa sedikit mudarat jika tidak ditangani dengan bijak oleh pengguna. Namun
demikian, terma ini sahaja tidak mampu menjadi keseluruhan facebook sebagai
haram.
Selain itu, juga disebutkan :
To respond to legal requests
and prevent harm. We may disclose information
pursuant to subpoenas, court orders, or other requests (including criminal and
civil matters) if we have a good faith belief that the response is required by
law. This may include respecting requests from jurisdictions outside of the
United States where we have a good faith belief that the response is required
by law under the local laws in that jurisdiction, apply to users from that
jurisdiction, and are consistent with generally accepted international
standards. We may also share information when we have a good faith belief it is
necessary to prevent fraud or other illegal activity, to prevent imminent
bodily harm, or to protect ourselves and you from people violating our Statement of Rights and
Responsibilities. This may include
sharing information with other companies, lawyers, courts or other government
entities."
Berdasarkan kepada terma di atas.
Sebenarnya pihak facebook mempunyai hak untuk mendedahkan informasi kita kepada
mana-mana berdasarkan alasan yang disebut di atas. Tiada takrif jelas
bagi yang disebut di atas, semua masih tetap terpulang kepada keputusan pihak facebook. Maka
menyerahkan info dan gambar kita kepada syarikat tertentu, CIA, FBI atau apa
jua badan kerajaan adalah hak facebook jua.
Walaupun begitu, ia sekali lagi
tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan pengunaan facebook sebagai haram, apa
yang perlu adalah kawalan dan had limit.
KESIMPULAN
Saya
tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook,
cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-
·
Hukum membuka akaun dan menggunakan
facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan
keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana
kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.
·
Bagi mereka yang masih tidak selesa
dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk
TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada
pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan
sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.
·
Bagi mereka yang ingin mengambil sikap
lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-
a-
Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi.
Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui
tulisan, video, audio dan sebagainya.
b-
Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa
diri dan orang lain.
c-
Tidak
sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak
zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat
berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan
juga syarikat facebook.
d-
Tidak
memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf
kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama,
tarikh lahir dan pendidikan.
e-
Tidak
terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah
dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada
atas dasar ‘main-main' atau tidak.
f-
Tidak
mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh
kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama
ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.
g-
Menyedari
bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing
untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database
sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini
yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik
masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update
sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang
tujuan kejahatan dan ketamakan.
Jika
itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun
facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih
banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau
terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan
melalui facebook itu.
Sekian,
Zaharuddin
Abd Rahman
19
Muharram 1431 h
05
Januari 2010
|