“Kenapa termenung?” saya bertanya kepada Adam.
“Seronok tengok emak ayah datang jumpa anak-anak. Keluarga saya jauh” balas Adam. Wajahnya sugul.
Sekolah Izzuddin Shah adalah sekolah Kerajaan Negeri Perak. Keutamaan diberikan kepada anak Perak. Namun daripada semasa ke semasa, ada beberapa orang pelajar dari luar negeri Perak yang bersekolah di SIS.
Mereka ini perantau pada usia yang sangat muda.
Cabarannya berganda.
Paling tidak, terkilan melihat ibu bapa berkunjung dengan segala macam juadah untuk anak, pada hujung minggu. Pelajar seperti Adam, hanya mampu memerhati.
“Sabar, jangan terkilan. Kamu tu hebat. Orang hebat sahaja boleh merantau jauh dari Johor ke Perak,” saya menepuk bahunya.
Saya selalu juga mengajak Adam menumpang di rumah saya kalau bercuti pendek memandangkan rumahnya yang jauh di selatan Semenanjung. Kebetulan pula minggu ini saya tidak balik ke rumah, walaupun jarak Sekolah Izzuddin Shah dengan Pasir Puteh hanya seputung rokok orang asli.
MARAH
“Eh, tengok tu!” Adam tiba-tiba menunding jari ke satu sudut di belakang bilik Pengawas.
“Kenapa?” saya kurang pasti apa yang ditunjuknya.
“Itu rupanya mak ayah pelesit tu!” kata Adam. Marah benar bunyinya.
“Hmm..” saya sudah faham apa yang dimaksudkannya.
“Mak ayah elok bertudung labuh, berserban. Anak macam setan!” kata Adam.
Saya tahu Adam memang sangat benci dengan Sarip Dol pelajar Tingkatan 3 itu. Jahatnya memang keterlaluan. Tetapi jahatnya selalu dimaafkan kerana kakinya bersakti di gelanggang bola sepak. Sekolah terhutang budi pula nampaknya kepada kehebatan dia menjaringkan gol. Hingga segala masalah disiplinnya macam dipejamkan sebelah mata.
Tetapi sayu saya lebih kepada ibu dan ayah si Sarip Dol itu.
Mungkin seorang anak boleh bersenang hati bertindak mengikut hawa nafsunya di sekolah. Berlagak tidak tentu hala, jalan bersepah! Ya, tangan orang lain elok terletak di kiri dan kanan badan. Tetapi samseng-samseng bawah umur ini jalannya menghayun tangan bersepah-sepah ke sana sini. Mujur terlekat di bahu. Kalau tidak, elok sahaja terhumban ke longkang selayaknya.
Rambut digumpal mengalahkan A Mahmud dalam Majalah Gila-gila.
Cuma umur belum cukup untuk mendapatkan lesen menunggang Vespa.
Bila ditegur, jawapannya mudah sahaja, “kepala bapak hang! Kepala bapak hang!”
Kesannya, ibu bapanya pula disiniskan pelajar tatkala berkunjung ke sekolah.
IBU BAPA TERKENA SAMA
Mereka bebas berperangai seperti pelesit tetapi mereka lupa, segala kebencian warga sekolah bukannya terpalit sekadar ke muka dan tubuh mereka. Penangannya terbang hinggap ke muka ibu dan bapa.
Siapa sangka, semasa ibu dan bapa yang berlenguh badan menunggang motor datang ke sekolah, orang lain menyumpah seranah si anak hingga ke ibu bapa.
“Kasihan, letih emak mengandung. Letih bapa menanggung. Anak besar jadi pelesit. Jadi setan!” bentak Adam.
“Sabar Adam, tak baik sampai ke situ,” saya menegur.
“Astaghfirullah!” Adam membetulkan ketayapnya.
Teringat kembali kami kepada hadith yang Abang Zamri Hashim bacakan semasa tazkirah selepas Asar semalam:
Dari Abdullah bin Amru beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Sesungguhnya salah satu dosa besar yang sangat besar adalah seseorang mengutuk kedua ibu bapanya.” Seseorang bertanya, “wahai Rasulullah, bagaimana mungkin seseorang mengutuk kedua ibu bapanya?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Seseorang mencela ayah orang lain kemudian orang itu mencela ayahnya dan mencela ibu orang lain dan kemudian orang itu mencela ibunya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Saya dan Adam beredar ke Dewan Makan.
Tanpa lauk-pauk yang sedap-sedap, di Dewan Makan itulah rezeki daripada Allah untuk kami.
Mungkin ikan jaket lagi.
Alhamdulillah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com