30 April 2009

Usrah


Hujung minggu merupakan hari yang selalu dinanti-nantikan oleh semua orang.Setelah penat melakukan rutin kerja dan proses pembelajaran,peluang rehat hujung minggu dipenuhkan dengan kegiatan santai yang berfaedah disamping mengeratkan lagi ikatan sesama insan.Suasana ceria kunjung-mengunjung kebiasannya mewarnai persekitaran asrama-asrama pelajar asing di Kuwait.Apa yang Serunai perhatikan,amalan ini tidak hanya dipraktikkan di kalangan pelajar Melayu sahaja,malah mereka yang berasal dari Afrika,Eropah dan Arab juga saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain.Maklumlah,keadaan pelajar yang jauh dari keluarga menyebabkan secara tidak langsung status kawan seakan-akan berubah menjadi adik-beradik kedua.Peluang bertemu dengan pelajar sekolah menengah ini telah dimanfaat sepenuhnya oleh Akh Shahril dengan mengadakan pertemuan ilmiah atau lebih mesra dengan panggilan usrah.Bukan pelajar Malaysia sahaja yang mengikuti program ini,bahkan ia turut menerima penyertaan daripada pelajar negara jiran kita iaitu Singapura dan Indonesia.Jika sebelum ini adik-adik kita selalu dihidangkan dengan program-program hiburan,permainan dan jalan-jalan,rasanya tidak salah jika seminggu sekali mereka dikumpul beramai-ramai untuk menjayakan usrah yang berguna ini.Lagipun,masa antara Maghrib dan Isya' bukanlah lama sangat sehingga mengganggu jadual mereka.Jadi Serunai rasa tidak ada alasanlah untuk mereka ponteng dari program yang berlangsung pada setiap hari Jumaat ini.Perkara-perkara yang dibincangkan semasa usrah adalah meliputi bab hukum-hakam,sirah serta hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam.Seingat Serunai,Akh Zarizan pernah juga menganjurkan usrah seumpanya beberapa tahun dahulu,tetapi entah di mana silapnya hanya seminggu dua sahaja usrah itu berjalan.Diharapkan program yang telah bermula sejak awal tahun ini mampu bertahan dan menjadi acara mingguan 'wajib' kepada adik-adik kita.